|
Artikel asal boleh dibaca di sini Artikel dibawah telah diedit semula oleh Editor Berita Harian Rencana dan Pendapat: Proton mesti teroka enjin biodiesel Penyelidikan sawit perlu dimanfaat galak industri automotif tempatan bersaing INDUSTRI bahan api berasaskan biofuel di Malaysia cukup berpotensi kerana segala kemudahan dan galakan sudah tersedia untuk tujuan ini. Proton sebagai peneraju industri automotif negara perlu mengambil langkah drastik untuk mencuba sesuatu yang baru sebelum ketinggalan dalam arus automotif dunia. Ketika pembuat kereta seperti Ford dengan Turiusnya, Toyota dengan Hydbridnya dan Volkswagen serta Audi dengan TDInya yang semakin teguh dalam pasaran industri biofuel ini, Proton tidak harus terlalu bergantung kepada enjin petrol kerana harga minyak semakin meningkat. Pelaburan dalam sektor bahan api berasaskan biofuel terutama biodiesel perlu diberi keutamaan dalam rancangan jangka masa panjang. Pengguna dan pembeli akan mula mencari alternatif baru untuk mengurus wang mereka dengan baik terutama bagi menjimatkan kos minyak. Tidak mustahil dalam masa lima hingga 10 tahun nanti, sekiranya Proton tidak berwaspada, kenderaan berasaskan biofuel akan mula membanjiri pasaran tempatan. Kemampuan dua pembuat kereta iaitu Honda dan Toyota mempunyai kilang pengeluarannya sendiri di Malaysia, pasti akan mempercepatkan lagi proses ke arah itu. Kemampuan penghasilan Envo 5 oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan rakan memberi petanda awal industri ini akan berkembang pada masa depan. Hanya kerjasama rakan teknologi seperti Proton dan Hicom bakal menentukan nasib kesinambungan industri biofuel negara. Banyak sekali syarikat luar mengintai peluang untuk menjalinkan kerjasama dengan agensi biodiesel negara. Lawatan kerja oleh Mitsubishi Corp ke MPOB baru-baru ini harus membuka mata syarikat automotif tempatan untuk mengambil peluang ini. Hanya kerjasama erat antara di kalangan industri akan membantu sasaran dan harapan kerajaan memajukan Malaysia sebagai negara berprestasi tinggi dan mesra alam. Statistik terbaru Agensi Tenaga Kesatuan Eropah, mendapati 3.9 juta tan biofuel dihasilkan tahun lalu, meningkat 65.8 peratus berbanding tahun sebelumnya. Perangkaan ini sebagai satu petanda sihat terhadap penggunaan sumber tenaga alternatif pada alaf baru. |